Rabu, 27 Mei 2009

Tulahan : Calon muhasabah diri, perwakilan siasat calon pilihan - Malaysiakini

Salam,

Pemimpin contoh

Pengumuman tentang calon yang akan bertanding untuk pemilihan tertinggi jamaah sudah dibuat. Ramai calon yang menawarkan diri. Terpulang kepada perwakilan memilih.

Penulis yakin ramai yang layak untuk jawatan tertinggi jamaah dan sepatutnya mereka tawarkan diri membantu perjuangan Islam ini. Namun, ada calon yang tak sepatutnya menawarkan diri kerana tidak layak lagi memimpin jamaah di peringkat tertinggi.

Calon yang tawarkan diri bertanding dan perwakilan yang akan memilih mungkin boleh rujuk ciri-ciri kepimpinan yang sepatutnya ada pada pemimpin jamaah. 

Calon boleh muhasabah diri adakah ciri kepimpinan ini ada pada mereka? Kalau dah tahu tak tak ada dan bertentangan, fikir kembali betulkah tindakan tawarkan diri sedang tahu tidak layak?

Perwakilan pula sebelum memilih selidik dulu calon yang bakal dipilih. Calon yang kita minat untuk pilih , ada atau tidak ciri kepimpinan ini. Kalau tak da dan bertentangan jangan pilih.

Kalau pilih juga maknanya ciri-ciri perwakilan umno dah ada pada perwakilan jamaah. Tak kira, walaupun pemimpin berakhlak buruk, makan rasuah dan seleweng amanah rakyat tetap dipilih sebagai pemimpin.

Melalui rujukan, penulis rasakan adalah tersangat penting untuk berkongsi dengan semuatentang tips-tips bagaimana kita dapat membuat pilihan yang tepat dalam melantik pemimpin yang sejati. * rujukan : Blog GH Syukri


Kita kena inga bahawa soal pemilihan pemimpin ini mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak. Maka mereka yang hendak dipilih, hendaklah mereka yang kita yakin akan mampu menegakkan keadilan dan kemaslahatan umat.

Jika kita pilih mereka yang berpotensi merosakkan umat, maka itu adalah dosa yang teramat di sisi Tuhan. Juga, calon-calon yang dipilih itu hendaklah sedar bahawa neraka adalah kesudahan buat mereka yang zalim yang gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab kepimpinan.

Pilihlah pemimpin yang mempunyai kualiti dan berkemampuan untk memastikan survival umat.
Kualiti sesorang calon bukan sekadar dilihat pada daerah, atau negeri atau umur atau latar pendidikan semata-mata sebaliknya pilihlah pemimpin berteraskanal-Quwwah dan al-Amanah seperti yang diajar oleh al-Quran. Al-Quwwah bermaksud kekuatan yang mewakili kemampuan atau kemahiran atau kecekapan melaksanakan tugas. Sementara al-Amanah adalah nilai taqwa atau amanah dalam diri yang memastikan dia tidak akan mungkir terhadap janji dan menyeleweng dari tanggungjawab yang diberikan.

Pilihlah pemimpin yang bertegas kepada prinsip dan mengenepikan segala kepentingan diri.

Pilihlah pemimpin yang paling amanah dan sedar serta insaf bahawa dia akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak tentang tanggungjawab yang akan diserahkan kepadanya.

Jangan pilih pemimpin berpandukan nama, panggilan atau gelaran sebaliknya pilihlah pemimpin berdasarkan kewibawaan, sikap dan keperibadian yang unggul.

Pilihlah pemimpin yang mampu membela rakyat bawahan, fakir miskin, menyebarkan kebaikan, menghidupkan suasana yang membawa keredhaan Allah dan RasulNya, memajukan minda dan harta serta menunaikan tuntutan dunia dan akhirat.

Jangan pilih pemimpin yang ada potensi negatif dan berkecenderungan untuk menyeleweng, tidak amanah, mementingkan diri, melupai tanggungjawab yang diberikan.

Sememangnya soal pendidikan, kelayakan, kepakaran dan kecerdikan amat penting dalam memilih pemimpin tetapi ciri kecerdikan itu jika tidak diiringi dengan perasaan gerun terhadap amanah jawatan yang diserahkan kepadanya, maka berbagai kerosakan dek kecerdikan itu tadi boleh berlaku.

Jangan sekali-kali memilih pemimpin atas dasar kerana simpati hubungan keluarga atau persahabatan yang ada.

Pilihlah pemimpin yang dapat menonjolkan idealisme yang mampu membimbing rakyat sehingga perasaan rakyat akan terikat dengan perjuangan kepimpinan, visi dan misi serta setia tanpa mengharapkan habuan, menyokong dan mendokong cita-cita dan menjayakan visi negara tanpa mengharapkan ganjaran.

Pilihlah tokoh-tokoh kepimpinan yang dikagumi keperibadiannya dan dirasai keikhlasan.

Pilihlah pemimpin yang jelas hala perjuangan dan perlaksanaannya.

Pilihlah pemimpin yang wajah kepimpinannya bukan taburan harta, tetapi kematangan minda yang mampu menjadikan harta berfungsi dengan saksama dan cemerlang.

Jangan pilih pemimpin yang hanya tahu melaungkan slogan-slogan dan janji-janji manis yang sebenarnya itu semua hanya sekadar retorik.

Sebaliknya pilihlah pemimpin yang boleh ‘walk the talk’ yang mempunyai penghayatan kepada segala kata-katanya dan membuat perubahan bermula dengan dirinya sendiri. Jika sekadar menjanji, ramai yang boleh janji berbagai perkara.

Jangan pilih pemimpin yang apabila bercakap, ia bohong dan jelas sekali pembohongannya.

Jangan pilih pemimpin yang suka memaki-hamun, menjatuhkan maruah dan mencerca orang tanpa batasan syarak.

Pilihlah pemimpin yang sentiasa rendah diri dan boleh ditegur.

Kesimpulan yang dapat saya berikan dalam memilih pemimpin sejati ialah ;

Pilihlah pemimpin yang TAKUTKAN ALLAH lebih daripada segalanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan ALLAH sajalah yang mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan jujur, amanah dan adil. Pemimpin yang benar-benar takutkan ALLAH sajalah yang tidak korup, tidak menipu, tidak mementingkan diri sendiri dan tidak sombong dan angkuh.

Wasalam

Read More >>

Sabtu, 23 Mei 2009

Berjuang, bukan Ustaz je........

Salam,

Penulis terjumpa satu artikel khas untuk yang masih tak mahu berjuang dari blog RenCana Siswa. Bacalah semoga mendapat manfaat.

ZAMAN SEKOLAH

1. Saya kecil lagi, tak perlu dakwah pun tak apa. Dah besar nanti insyaallah.
2. Sibuklah dengan tuisyen, kerja rumah, nak ‘exam’, ko-kurikulum, sukan…
3. ‘Parents i’ tak bagi le…
4. Aku takut nanti ganggu akademik.
5. Dah masuk ‘u’ nanti ok le ‘join’ dakwah, fikiran pun dah matang sikit.

ZAMAN UNIVERSITI/ KOLEJ

1. ‘You’ faham-faham jelah, masuk ‘u’ ni bukan macam sekolah. ‘Study’ buku tebal-tebal, ‘assignment’ berlambak…nantilah lapang-lapang sikit.
2. Dah habis belajar nanti aku memang niat nak aktif dalam dakwah. Engkau jangan risaulah. Sekarang tumpu akademik dulu. Takut nanti dakwah entah ke mana, akademik entah ke mana.
3. Aku tengah ‘tension’ la… awek/ balak aku buat hal pulak…!

ZAMAN HABIS BELAJAR

1. Nantilah… dapat kerja dulu. Dah ada kerja nanti, dah stabil, ‘ok’ le ‘join’ dakwah. Ni diri sendiri pun tak lepas lagi.
2. Ada kenderaan baru senang nak bergerak, ye tak? Tunggu le aku ada motor nanti.
3. Mak bapak aku tengah bising tu. Diorang dah naik muak tengok aku asyik menganggur je. Kalau aku ‘join’ dakwah, lagi teruk le kena hentam.
4. Letih belajar pun tak habis lagi. Bagilah peluang aku rehat kejap. Dari kecil asyik ‘study study study’, dah ‘grad’ ni ‘relax’ le kejap. Dakwah tu tak lari ke mana. Sampai masa nanti, engkau tengok le.


ZAMAN KERJA

1. Sibuklah… tau aje la, keluar kerja pagi, balik dah nak malam. Letih giler. Dah balik tentu nak rehat. Aduhhh…
2. Aku tengah pening kepala nak kumpul duit, nak kahwin ni. Nantilah aku dah ‘settle’ problem–problem aku…
3. Dah kahwin mesti nak ada kereta. Aku tengah cari duit nak buat ‘down payment’ ni. Ada kereta esok senang nak bergerak. Hujan panas ‘no’ hal.
4. Bergerak sorang-sorang ni tak berapa ‘best’. Aku cadang nak kahwin dulu. Dah ada pasangan nanti baru laju sikit nak gerak. Betul tak?

ZAMAN KAHWIN

1. Engkau tahu aje la, dah masuk alam rumahtangga ni. Tanggungjawab bertambah, belanja bertambah. Nak sesuaikan diri dengan pasangan, dengan keluarga pasangan… kena ambil masa jugak. Hari cuti aje dah tentu kena balik rumah mak bapak aku ataupun rumah mak bapak dia. Adik-beradik dah bertambah. Kejap-kejap kenduri la, bertunang la, tahlil la, masuk rumah baru la. Semua nak kena pergi tu. ‘Sorry’ la kawan, aku betul-betul tengah ‘pack’ ni. Nantilah ye.
2. Orang rumah aku masalah sikitlah. Kalau aku ikut program dakwah aje, dia mula muncung. Rumahtangga mestilah diutamakan, ye tak?
3. Abang (suami) aku memang tak pernah terdedah dengan program-program dakwah ni. Jadi takkan aku nak keluar sedangkan dia asyik tarik muka aje.
4. Aku cadang nak tarbiah isteri aku dulu. Pelan-pelanlah aku buka minda dia. Nanti dia pun dah ada minat, kami boleh bergerak sama-sama.

ZAMAN ANAK-ANAK MASIH KECIL

1. Anak kecik, engkau faham-faham sajalah. Nak keluar rumah pun tak boleh. Sekarang kain baju, masak-memasak, kemas rumah, urus anak-anak semua aku buat. Memang aku tak boleh nak bagi masa untuk program agama la buat masa ni. Anak besar sikit nanti insyaallah la…
2. Aku nak sambung belajar lagi le, kasi naik pangkat, tambah ‘income’. Baru boleh betul-betul stabil. ‘Time’ tu nanti isyaallah le aku boleh aktif. Nanti le habis sambung belajar dulu. Habis ‘master’, dapat PHD, barulah ada nama sikit. Nak dakwah pun senang, cakap kita orang dengar.

ZAMAN ANAK-ANAK BERSEKOLAH

1. Nak dakwah macam mana, aku sembahyang pun tak ‘perfect’ lagi, tajwid pun berterabur. Aku ingat nak mengaji kat surau la bab-bab sembahyang, tajwid. Dah boleh baca Quran nanti baru le sedap nak ‘join’ program. Takkan terus-terus nak ikut program, nak dakwah, kalau yang ‘basic’ pun tak lepas lagi, kan?
2. Umur dah meningkat ni, macam-macam penyakit datang. Badan dah tak kuat macam dulu. Setakat manalah aku boleh ikut program, setakat manalah aku nak berdakwah. Kalau kuat macam muda-muda dulu lain le. Nantilah… pelan-pelannn…
3. Tak ada masa langsung. Hantar anak-anak ke ‘nursery’, ke sekolah, petang ke sekolah agama, malam tuisyen, hari cuti bawa diorang jalan-jalan, rehat-rehat…tentu nak rekreasi jugak kan?
4. Nak ‘online’ internet? Nak ‘update’ blog? Nak sertai forum? Dua minggu sekali ada le aku online. Blog? Forum? Hmmm…

Z
AMAN ANAK-ANAK LEPAS SEKOLAH/ ZAMAN PENCEN

1. Aku tengah sibuk belajar dan menghafal pasal haji ni. Cadang lagi tiga tahun nak pergi tapi nak kena belajar dari sekarang le. Engkau tahu aje la aku ni bab agama tau yang ‘basic-basic’ je. Rugi la kalau haji ni tak buat elok-elok. Nantilah.
2. 30 tahun kerja siang malam, sekarang baru dapat peluang nak rehat, nak tumpu pada ibadah, nak mengaji di masjid-masjid, nak ziarah anak cucu, nak lawat saudara-mara, nak jaga rumah… Bagilah aku rehat kejap setahun dua, nak ‘cover’ balik yang 30 tahun tu. Sementara hidup ni, nak juga merasa, ye tak?
3. Tak tahulah. Sekarang asyik bergantung dengan ubat je aku ni. Berjalan jauh sikit penat. Kerja lebih sikit darah naik.
4. Aku bukan tak mahu, dari zaman sekolah lagi aku memang minat, cuma belum ada rezeki aje nak teruskan kerja-kerja Rasulullah ni. Kerja Tuhan jugak yang tak tentukan jalan hidup aku macam ni, nak buat macam mana.
5. Anak-anak aku tu… diorang kalau boleh nak tengok aku berehat aje di rumah, tak payah fikir apa-apa, tenangkan fikiran, tumpu pada sembahyang, mengaji… Betul jugak, esok kalau aku sakit ke apa ke, diorang jugak yang susah. Aku malas le nak bertekak dengan diorang.

ZAMAN DALAM KUBUR


1. Aduh… hafazan aku sikit! ‘Waddhuha’ ke bawah pun tajwid berterabur. Dulu masa sekolah aku main bola dua jam sehari. Kalaulah aku ambil 10 minit sehari daripada masa main bola tu untuk hafazan, seminggu sudah 70 minit. Sebulan? Setahun? Aduh, menyesalnye!
2. Arg, kawan-kawan aku yang ‘beragama’ boleh dibilang dengan jari! Kalaulah masa di ‘u’ dulu aku aktif, tentu dapat banyak kenalan dan banyak ilmu dan banyak pewaris dakwah melalui tangan aku. Apa yang mereka buat semuanya saham pahala untuk aku tu. Ruginya aku….
3. Ya Allah, isteri, anak-anak dan cucu-cucu aku ditinggalkan tanpa sempat aku mentarbiah agama mereka. Sekarang mereka jauh dari agama sebab aku tak contohkan diri aku dulu. Semua salah-silap mereka aku nak kena jawab tu. Tapi aku nak buat majlis tarbiah di rumah macam mana sedangkan aku sendiri tak ada ilmu. Padan muka aku!
4. Kawan yang ajak aku ke program-program agama dulu, bertuahnya mereka. Keluarganya jadi orang-orang soleh. Anak buahnya dalam dakwah banyak. Saham pahala daripada usaha anak-anak buahnya berterusan mengalir. Ilmu dan amalnya banyak. Iman dan pemahamannya tinggi. Ilmunya dimanfaatkan banyak orang. Aku?
5. Kalau Tuhan tanya nama artis, nama bintang sukan, nama pimpinan dunia… ratusan orang aku ingat. Tapi kalau Tuhan tanya nama ulama, nama kitab… habis aku!
6. Bahasa Inggeris aku macam air. Bahasa syurga?
7. Teman-teman aku sudah kenal Tuhan, mereka menyembah Tuhan yang Esa. Aku? Rasa-rasanya masih sembah Tuhan yang bercampur dengan makhluk. Af’alnya aku tak pandai nak Esakan, Asma’nya aku tak tahu nak Esakan,Sifat dan Zatnya pun sama. Oh Tuhan, syirikkah aku? Apakah aku menyekutukan Engkau selama hari ini?
Aku menyesallllll………!!!

Wassalam
Read More >>

Rabu, 20 Mei 2009

Mai baca pemikiran pemimpin umno bawahan

Salam, 

Kuburkan Saja Mereka!
Gambar Hiasan

Penulis dah lama tak menulis, ada benda nak tulis tapi biarlah dulu. Ada kawan yang tegur, kenapa lama tak tulis? . 

Bagi mengaktifkan blog ini, penulis paparkan apa yang penulis baca dari Sinar Harian tentang pemikiran pemimpin umno peringkat cawangan. Bacalah. nak komen, komen la. 

PARIT BUNTAR - Pegawai Kerajaan Kategori A yang berpihak kepada pembangkang patut ditukarkan ke negeri pembangkang kerana menyusahkan rakyat.

Ketua Cawangan UMNO Pekan Batu Lima Bahagian Parit Buntar, Sulaiman Mohd Zaini berkata, banyak pegawai kerajaan yang juga ahli kepada pembangkang mencuri sewaktu bekerja.

Menurutnya, kebanyakan pegawai-pegawai di daerah ini tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus dan adil. 


“Mereka yang lebih berpihak kepada pembangkang ini tidak sepatutnya berada di jabatan kerajaan kerana lebih banyak curi tulang daripada membuat kerja,” katanya.

Sulaiman berkata, kakitangan dan pegawai kerajaan yang menyokong pihak pembangkang ini adalah antara mereka yang tidak tahu mengenang jasa dan membalas budi.

“Mereka mencari makan di jabatan kerajaan tetapi memberi maklumat kepada pembangkang sehingga menyebabkan rakyat membenci kerajaan.

“Kita tidak menafikan masih ada kakitangan dan pegawai kerajaan yang setia berkhidmat dengan kerajaan namun jumlahnya amat sedikit,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang menjadi dalang pembangkang ini sepatutnya ditukar kepada negeri pembangkang kerana tidak layak menjadi pegawai kerajaan disebabkan sifat mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, sehingga kini berapa ramai anak-anak kepada pembangkang ini menggunakan wang kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara.

“Walaupun kerajaan BN memberi kemudahan kepada mereka, namun masih juga menafikan pertolongan kerajaan BN dalam membawa pembangunan dan kemajuan serta pendidikan yang sempurna kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, pegawai kerajaan yang menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh kerajaan supaya berhenti berbuat demikian kerana ini menunjukkan sikap tidak bermoral.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan melihat semula segelintir pegawai yang menjadi dalang kepada pembangkang supaya ditarik balik hak keistimewaan mereka atau terus sahaja dihantar berkhidmat ke negeri pembangkang jika itu yang mereka mahu,” katanya ketika menemui Sinar Harian. 

Wassalam.
Read More >>

Rabu, 06 Mei 2009

Tulahan : Pemimpin ulama pandanglah sama ke bawah

Salam,


Penulis pada awalnya tidak mahu menulis berkaitan kepimpinan ulama yang menjadi mainan media pengampu BN. Namun, bila penulis terbaca tulisan di sini  dan di sini . Penulis rasa perlu beri sikit pandangan berkaitan kepimpinan ulama.

Keghairahan pemimpin ulama dan pemimpin tertentu dalam jamaah menekan kepentingan kepimpinan ulama semasa musim pemilihan semakin ketara sekarang ini. Bagi pemimpin ini, Presiden dan Timbalan Presiden mestilah ulama. Barulah jamaah boleh dianggap berada di bawah kepimpinan ulama.

Penulis tidak mahu menyangkal kerana mereka ada hujah tersendiri dan penulis pun bukan ulama nak menentukan Presiden dan Timbalan Presiden mesti di kalangan ulama.

Hanya sikit nasihat penulis nak beri kepada pemimpin ini, berhati-hatilah membuat kenyataan terutama kepada media pengampu BN yang seolah-olah sangat prihatin kepada kepimpinan ulama. Sedangkan media ini ada maksud memecahbelahkan perpaduan dalam jamaah.

Penulis cuma nak minta pemimpin ini merenung sejenak. Kenapa pemimpin ulama ditentang oleh pemimpin bukan ulama untuk jawatan tertinggi jamaah?.

Jawapannya, kerana mereka mendapat sokongan dan pencalonan dari Kawasan dan mereka yakin akan mendapat undi dari perwakilan Kawasan semasa Muktamar Pusat. Mengapa Kawasan mencalonkan pemimpin bukan ulama?.


Jawapannya, kerana ramai kepimpinan Kawasan disandang oleh pemimpin bukan ulama. Ke mana pemimpin ulama di Kawasan?. Inilah isu yang penulis hendak utarakan dalam penulisan ini.

Penulis berharap pemimpin ulama supaya turun ke Kawasan dan Cawangan, kemudian kira berapa orang ustaz/ustazah yang bergiat dalam jamaah?.

Tolak Kelantan dan Terengganu, realitinya ialah kurangnya ustaz/ustazah yang mereka ini ulama memegang jawatan dalam jamaah di Cawangan dan Kawasan. Mengapa begitu?

Bukan kerana tidak ditawarkan jawatan atau dihalang memegang jawatan oleh pemimpin bukan ulama. Tetapi kerana ustaz/ustazah ini tidak mahu memegang jawatan dalam jamaah. Ramaikah ulama dalam satu-satu Kawasan?.

Lulusan agama universiti tempatan dari UM,UKM,UIA dan Kolej Islam swasta. Lulusan agama universiti luar negara dari Mesir, Jordan, Madinah, India dan Indonesia. Lulusan Sekolah Agama Rakyat dan Pondok. Mereka ini ada di mana-mana dalam Kawasan.

Terdapat tidak kurang 10 sekolah menengah dan 30 sekolah rendah dalam satu-satu Kawasan. Sebuah sekolah mesti ada tidak kurang 2 orang ustaz/ustazah, tak termasuk ustaz/ustazah J-Qaf. Kiralah berapa orang ulama dalam satu Kawasan?.

Tak kira lagi ustaz/ustazah yang bekerja di Pejabat Agama. Tak kira lagi, lulusan SAR dan pondok yang menjadi pendakwah bebas. Walaupun ada juga yang terlibat, tetapi lebih memberatkan kuliahnya dari program jamaah. Ramai rupanya ulama dalam Kawasan.

Dari jumlah yang ramai itu, berapa yang terlibat dengan jamaah di Kawasan. Penulis tak boleh nak letak jumlah. Kiralah dalam Kawasan sendiri. Jawapannya, tentu mengecewakan.

Sehinggakan bila ada Mesyuarat Agung Dewan Ulama Negeri, ada Kawasan yang terpaksa kutip yang bukan ulama untuk hadir kerana tidak ada ustaz di Kawasan yang mahu hadir.

Malah kerana ketandusan ulama, pemimpin yang bukan ulama mengambil peranan mengajar di markas dan surau. Di Perak contohnya, munculnya 'Ustaz' Nazri Din lulusan ekonomi dari Larut. 'Ustaz' Radhi Zainon lulusan kejuruteraan di Gopeng dan ramai lagi. 

Semasa DS Ir. Nizar belum menjadi MB Perak, beliau juga dipanggil 'Ustaz' Mohd Nizar kerana berkemampuan mengajar di markas dan surau. Adakah mereka ini layak sebagai ulama profesional?

Mengapakah ustaz/ustazah tidak mahu terlibat dengan jamaah?. Jika tanya mereka pelbagai alasan diberi. Sibuk, anak tak sihat, kerja sekolah banyak, sokong kot belakang ja, nak berjuang lepas pencen dan macam2 lagi.

Hakikatnya, mereka takut sebab kerja kerajaan dan dah tandatangan aku janji. Jika berjuang nanti kena tukar, tak naik pangkat, kena black list. Ada yang dulu semasa mengajar SAR aktif jamaah, bila jadi  SABK dengar ceramah pun takut.

Peliknya, yang bukan ulama dan kerja kerajaan ramai yang boleh aktif. Inilah yang perlu difikirkan oleh pemimpin ulama. Kenapa ustaz/ustazah yang penuh di dada ilmu agama takut berjuang dibanding dengan mereka yang bukan ulama?.

Apabila kurangnya ulama muda aktif di Kawasan, di sesetengah Kawasan Ketua urusan ulama dan Lajnah Tarbiyah dipegang oleh ulama yang dah berumur. Ulama berumur dipilih kerana warak dan dihormati, tetapi tidak mampu menyusun gerak kerja tarbiyah.

Kesannya, program pentarbiyahan kepada ahli tidak berjalan, usrah dan tamrin kurang dilaksanakan. Masalah kurang tarbiyah di Cawangan dan Kawasan banyak berpunca kerana tiada pengerak dikalangan ulama.

Apabila program tarbiyah kurang di Kawasan, sudah tentu ramai ahli dan pimpinan di Kawasan tidak hadam tentang konsep kepimpinan ulama. Ramai yang keliru dan tidak faham.

Fenomena ini akan berterusan jika dibiarkan. Penulis mohon pemimpin ulama mengambil serius masalah ini. Jangan biarkan ketandusan ulama di Cawangan dan Kawasan berlarutan.

Ramai yang mahu kepimpinan ulama dikekalkan. Namun sekiranya ulama2 muda terus takut untuk ke hadapan, ruang kosong ini akan diisi oleh pemimpin bukan ulama.

Sehinggalah sampai satu masa, tidak boleh ditahan lagi jamaah akan dipimpin oleh pemimpin bukan ulama. Bukan sahaja di Cawangan dan Kawasan, malah sehingga ke peringkat kepimpinan tertinggi jamaah.

Masanya masih belum terlewat untuk pemimpin ulama berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Program pentarbiyahan dari kampus perlu dipertingkatkan supaya pemimpin ulama muda dari jamaah kampus tidak lari dan takut walaupun bekerja dengan kerajaan.

Pemimpin ulama perlu memikirkan usaha mengumpul ulama muda di Kawasan. Memberi motivasi dan bimbingan supaya mereka tidak takut melibatkan diri dengan jamaah di Kawasan.

Jika masalah ini dibiarkan, pemimpin ulama jangan terkejut jika suatu masa nanti ketua urusan ulama tidak ada penjawatnya dan Lajnah Tarbiyah dipengerusikan pemimpin bukan ulama di Kawasan.

Dalam keghairahan dan ketegasan pemimpin ulama mahu Presiden dan Timbalan Presiden dipegang ulama. Haruslah diingat, jika masih tandus ulama di Kawasan dan perwakilan mewakili Kawasan 90 peratus bukan ulama. Pada masa itu, mampukah lagi pemimpin ulama mempertahankan lagi Presiden dan Timbalan Presiden dipegang oleh ulama.

Fikirkanlah.

Wasalam.

Read More >>

Selasa, 28 April 2009

Tulahan : Peringatan buat pemimpin PAS

Salam,



Baru ni, penulis balik Parit Buntar, hadir mesyuarat agung jamaah. Ada la kejutan sikit seperti berita di sini . Bagi yang dok Parit Buntar, berita ini bukanlah kejutan besar. Tapi bagi mereka di luar Parit Buntar dan pengunjung blog, berita ini mungkin satu kejutan besar. Sampai ada; 

tanpa nama berkata...
dlm pas pon berebut kuasa..

patutnya sbg yb depa respek la..

ni tak, yb kena kalih mcm tu ja..
Sebenarnya pemilihan tahun ini biasa seperti dulu2. Tidak ada lobi melobi, tidak ada fitnah memfitnah, tidak ada dengki mendengki, tidak ada umpat mengumpat, tidak ada yang buat kerja bodoh dalam jamaah dan tidak ada yang nak tolak ulama. 
Keputusan pemilihan ini adalah kehendak perwakilan cawangan. Jelas, perwakilan cawangan di Parit Buntar mahukan pemimpin yang boleh buat kerja aktifkan jamaah, pemimpin yang banyak membantu mereka menguruskan organisasi dan keahlian cawangan.
Pemimpin yang bersama mereka di kala senang dan susah, pemimpin yang prihatin masalah di cawangan. Bila ada bencana melanda, pemimpin ini paling awal datang bertanya khabar. Itulah kehendak perwakilan cawangan.
Mandat dari perwakilan cawangan ini menjadi amanah yang wajib dipikul pemimpin yang terpilih. Bagi yang menang, beristiqfar kerana amanah berat menanti di hadapan.
Bagi yang kalah, bersyukurlah kerana tidak lagi memikul amanah besar. Renungkan kembali, mengapa tidak dipilih perwakilan cawangan. Tentu ada sebabnya, tak perlu salahkan yang menang. Sebaliknya, bantulah yang menang memperkasakan jamaah. 
Pemilihan sudah selesai, perwakilan cawangan sudah menunaikan hak mereka sebagai anggota jamaah seperti dalam perlembagaan jamaah.Namun, ada juga timbul cakap2 yang tidak sedap didengar bukan dari perwakilan tetapi dari yang bukan perwakilan dan orang luar Parit Buntar.
Ulasan mereka, PAS Parit Buntar berundur ke belakang kerana pilih TYDP yang rendah akademiknya. Kenapa akademik yang dipersoalkan?. Kenapa tidak tanya sebab apa beliau dipilih perwakilan cawangan?. Bagi pengulas luar, mai Parit Buntar tanya sendiri perwakilan cawangan.
Kalaupun akademik tinggi, ada master, ada phd, peguam, jurutera, arkitek, doktor. Jika hanya boleh pegang jawatan tetapi jamaah tak bergerak, apa gunanya?.
Kalaupun lulusan agama dari UM, UIA, UKM atau luar negara Jordan, Mesir, Madinah. Jika diberi jawatan jamaah beku dan kaku, apa gunanya?. Jangan ingat, akademik tinggi sahaja yang layak untuk memegang jawatan dalam jamaah.
Bagi penulis, keputusan pemilihan di Parit Buntar mampu menjadi satu peringatan kepada pemimpin jamaah peringkat pusat, negeri dan wakil2 rakyat. 
Jangan ingat dengan jawatan yang kita pegang, kita boleh buat apa saja. Jangan diikut cara pemimpin umno yang ditolak rakyat. Lupa diri, sombong, megah diri dan rasa diri dah hebat. Jangan dok bergaya lebih sangat, ingat perwakilan di cawangan dan kawasan sedang perhatikan pemimpin mereka.
Jangan dok cuba ambil rasuah. Bila buat kesalahan cuba tutup2kan. Ingat, akhirnya akan terbuka juga pekung di dada.
Akhirnya renungilah ayat 44 surah al-Baqarah;
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri. Padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal"
Wasalam.



Read More >>

Selasa, 14 April 2009

Tulahan : Bersihkan PAS dari pemimpin rasuah

Salam,

Selepas PRK Bukit Gantang, tumpuan pemerhati politik sekarang kepada pemilihan kepimpinan PAS. Mesyuarat Agung PAS Kawasan sedang berlangsung, manakala Mesyuarat Agung PAS Cawangan sudah pun berakhir hujung Mac lalu.

Muktamar PAS Pusat bagi memilih kepimpinan PAS Pusat akan berlangsung awal Jun ini. Berkaitan pemilihan kepimpinan PAS, Tok Guru Nik Aziz memberi pesanan kepada ahli PAS. 

“Kalau yang ada kemampuan, tak ada masalah untuk mereka tawar diri untuk bertanding. Kalau yang ada kemampuan menonjol tak apalah, (tapi) kalau yang tidak ada kemampuan tapi menonjolkan diri, tak payahlah undi dia,” katanya.

Penulis amat bersetuju dengan pesanan Tok Guru. Apa guna jika tawarkan diri bertanding jika dah tahu tak boleh buat kerja. Kalau terpilih nanti, jamaah tak bergerak dan ini merugikan jamaah.

Berbicara tentang kepimpinan PAS, sudah kedengaran cerita2 tentang pemimpin PAS yang tidak sedap didengar. Sudah ada cakap2 tentang pemimpin PAS yang sombong, berlagak, megah dan besar kepala seperti di sini

Sehingga Ketua Pemuda PAS YB Sallehudin memberi nasihat :

"PAS jangan sombong, jangan bongkak, jangan lupa diri. Atas sokongan yang kita terima ini sebenarnya adalah mandat daripada rakyat untuk tunaikan tanggungjawab mewakili mereka".

Memandangkan PAS adalah jamaah yang memperjuangkan Islam, maka pemimpin yang akan menerajui PAS perlu memenuhi ciri-ciri kepimpinan Islam.

Harapan rakyat semua kaum kepada PAS cukup tinggi. Rakyat melihat pemimpin PAS bersih, tidak rasuah, sederhana dan prihatin terhadap masalah rakyat. Sebab itulah PAS mendapat sokongan dan kemenangan dalam PRK Kuala Terengganu dan PRK Bukit Gantang.

Justeru, bila ada pemimpin PAS yang sudah mula lupa diri. Menjadi tanggungjawab kepimpinan tertinggi PAS membetulkan keadaan ini. Pemimpin PAS yang lupa diri ini harus ditegur kerana jika tidak ditegur. Mereka menganggap perbuatan mereka itu betul dan tidak salah.

Terbaru, ada kedengaran juga pimpinan PAS yang mendapat komisyen balak sehingga ratusan ribu. Walaupun belum ada kesahihan , namun jika tidak ada angin masakan pokok nak bergoyang. Pimpinan tertinggi PAS mesti melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas kepada pemimpin yang rasuah ini.

Pemimpin yang rasuah sama ada ustaz atau profesional, kumpulan "pro-Muzakarah" atau " Erdogan" tidak sepatutnya berada dalam saf kepimpinan jamaah. Sekiranya, pemimpin rasuah ini tidak diambil tindakan, ia akan menjadi barah dalam jamaah.

Kepimpinan PAS tidak boleh bersikap double standard dalam menangani pemimpin yang terbabit dengan rasuah. Jika pemimpin umno rasuah makan komisyen balak, PAS mendesak pemimpin umno ini diambil tindakan. 

Maka, jika ada pemimpin PAS rasuah makan komisyen balak. Pemimpin PAS ini juga perlu diambil tindakan. Jika pemimpin rasuah sebegini disimpan, kemudian terbongkar kesalahan rasuahnya. Persepsi rakyat terhadap PAS akan berubah. Rakyat akan menggangap sama sahaja antara PAS dan umno. Sebab itulah ada padangan ini.

Ada cadangan pemimpin PAS yang rasuah ini tidak diambil tindakan. Sebaliknya, orang PAS sama-sama solat hajat dan mendoakan pemimpin ini berubah. Bolehkah begitu?. Kalau boleh, mengapa tidak kita sama-sama solat hajat dan mendoakan pemimpin umno yang rasuah berubah dan mereka tidak diambil tindakan walaupun rasuah.

Penulis, boleh terima pemimpin PAS yang sombong, berlagak, megah dan besar kepala. Mereka boleh berubah jika ada teguran. Tapi penulis tak boleh terima pemimpin PAS yang rasuah. 

Sekiranya kepimpinan tertinggi PAS tidak mengambil tindakan kepada pemimpin PAS yang rasuah. Mungkin kerana tidak cukup bukti atau sebab-sebab lain. Penulis menyeru ahli-ahli PAS yang tahu siapa pemimpin PAS yang rasuah supaya menolak pemimpin rasuah ini, jika mereka bertanding dalam pemilihan kepimpinan PAS.

PAS mesti dibersihkan dari pemimpin yang rasuah. Jangan jadi seperti umno yang menyimpan pemimpin rasuah.

Mungkin ada yang tidak senang dengan tulisan ini, kerana tuduh pemimpin PAS rasuah. Tulisan ini tidak menuduh sesiapa pemimpin PAS. Jika betul tidak ada pemimpin PAS rasuah, syukurlah. Tapi penulis bimbang jika ada dan pemimpin rasuah ini diangkat menjadi pemimpin jamaah. 

Wassalam.




Read More >>

Senin, 13 April 2009

Tulahan : Kenapa undi Melayu kepada PAS merosot?

Salam,

Dua tiga hari ini, media massa dan media maya memperkatakan tentang kemerosotan undi PAS di kalangan pengundi Melayu di PRK Bukit Gantang. Pengarah JPN Perak Hj. Asmuni Awi memberitahu undi PAS merosot dari 47 % semasa PRU 12 kepada 43 % semasa PRK Bukit Gantang.

Hampir semua peti undi Melayu mencatatkan penurunan sokongan pengundi Melayu kecuali tiga UPU dalam DUN Kuala Sepetang iaitu Sg. Limau (Hujung Matang), Kg. Jaha dan Kg. Menteri.

Pelbagai alasan dikemukakan penganalisis politik semasa membincangkan isu ini. Penulis mengariskan tiga faktor yang menyebabkan kemerosotan undi Melayu kepada PAS. Hj. Asmuni menyatakan, daripada 2000 pengundi luar PAS hanya sekitar 700 orang sahaja yang balik mengundi. 

Pengundi luar tidak pulang mengundi kerana tarikh mengundi jatuh pada hari bekerja iaitu hari Selasa. Bagi yang tinggal jauh, mereka terpaksa mengambil cuti selama dua atau tiga hari semata-mata untuk balik mengundi.

Jelas, peranan SPR berjaya mengurangkan undi PAS melalui penetapan tarikh mengundi pada hari bekerja. Namun, pengundi luar bukan hanya pengundi PAS, umno pun ada ramai pengundi luar. Kenapa pengundi luar umno boleh balik mengundi?.

Di sinilah kegagalan jentera pilihanraya PAS dalam memastikan pengundi luar PAS balik mengundi. Sekiranya benar kenyataan Hj.Asmuni, maksudnya ada sekitar 1300 lagi pengundi PAS yang tidak balik mengundi. 

Ramai yang memberi pandangan, kemerosotan undi PAS disebabkan kempen umno " Nizar derhaka" dan 'Nizar boneka" berjaya mempengaruhi pengundi Melayu. Penulis bersetuju dengan pandangan ini, namun apakah yang menyebabkan pengundi Melayu boleh terpengaruh dengan tuduhan umno ini?.

Sekali lagi kegagalan jentera pilihanraya PAS menjawab balik dan menafikan tuduhan umno ini. Mengapa ini berlaku?. 

Dimaklumi selepasa diisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang. Jentera umno telah memulakan kempen turun ke kampung-kampung menyebarkan tuduhan " Nizar derhaka" dan 'Nizar boneka" walaupun belum tahu calon umno dan PAS.

Umno kumpulkan orang kampung buat ceramah, sebarkan risalah, pergi rumah ke rumah. Semua kempen mereka bertumpu kepada tuduhan " Nizar derhaka" dan 'Nizar boneka". Orang kampung telah disumbatkan dengan tohmahan ini sehingga mereka mula percaya dan terus percaya.

Bagaimana dengan jentera PAS?. Jentera PAS diakui telah digerakkan sejak sebelum hari penamaan calon. Namun begitu, jentera PAS Kawasan dan PAS tempatan tidak dibekalkan dengan bahan kempen yang boleh menjawab tuduhan umno ini.

Jentera PAS Kawasan yang turun mengerakkan UPU tempatan tidak berani mengeluarkan risalah sendiri kerana sudah ada arahan yang melarang. Semua bahan kempen hanya boleh dikeluarkan oleh Jentera Operasi Penerangan Induk.

Muslimat yang turun merayu undi dari rumah ke rumah bergerak tanpa ada bahan kempen. Muslimat tidak mampu menjawab bila ada soalan " Nizar derhaka" dan 'Nizar boneka".

Memang ada PAS Kawasan dan tempatan yang merungut kerana kelewatan bahan kempen tapi apa kan daya. Kuasa mengeluarkan bahan kempen bukan pada mereka. Akhirnya, sebelum hari penamaan calon pengundi Melayu sudah ramai yang terpengaruh dan percaya dengan tuduhan 
" Nizar derhaka" dan 'Nizar boneka".

Sehari selepas penamaan calon, barulah keluar risalah " umno derhaka" dan " umno gadai tanah Melayu". Risalah yang dikeluarkan selepas hari penamaan calon sebenarnya kurang berkesan kepada orang kampung kerana terlalu banyak bahan kempen dari kedua-dua parti yang masuk ke rumah mereka. Mereka tidak sempat dan tidak ada masa membacanya.

Umno tidak akan berjaya mempengaruhi orang kampung percaya kepada tuduhan mereka, jika jentera PAS cepat menjawab tuduhan mereka.

Sepatutnya, PAS mengucapkan terima kasih kepada Bloggers Network yang sentiasa memberikan jawapan kepada tuduhan umno di media internet sejak dari awal lagi. Sekurang-kurangnya, pengundi Melayu bandar, muda dan kelas pertengahan sedar tentang pembohongan umno ini.

Faktor ketiga yang menyebabkan undi PAS merosot adalah kerana sogokan RM oleh umno kepada pengundi Melayu. Pengundi Melayu di kampung telah dihujani dengan RM bermula dari tarikh kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong. 

Orang kampung telah dibawa ikut rombongan ke Langkawi, Cameron Highlands dan lain2. Bukan sahaja tambang, hotel dan makan free, dapat pula sagu hati RM 200 seorang. Pemuda kampung di bawa berkursus, juga dapat RM 200 seorang.

Melalui surat Bahagian umno Bukit Gantang kepada Ketua Cawangan umno yang tersebar, setiap rumah ahli umno diberikan RM 1000. Pemuda, wanita dan puteri yang bertugas dibayar RM 100 sehari setiap orang sepanjang kempen.

Mereka yang guna kereta bertugas dibayar RM 100 , motorsikal RM 50 setiap hari sepanjang kempen. Pengundi atas pagar ditawarkan sehingga ratusan ke ribuan RM mengikut pengaruh pengundi itu.

Faktor inilah penyebab utama undi PAS merosot. Memang PAS kempen " bagi duit ambil, pangkah tetap bulan", tapi bagi pengundi Melayu yang terima RM ini mempunyai pandangan lain. 

Bagi mereka apabila diberi RM ini, mereka rasa dihargai dan cara nak ucap terima kasih kepada umno adalah pangkah BN. Bukan senang dok di kampung boleh dapat ratusan hingga ribuan RM. Faktor inilah juga yang menyebabkan undi PAS menurun di kubu kuat PAS seperti Changkat Ibol dan Kampung Cheh.

Secara keseluruhan, umno masih mengamalkan gaya politik lama semasa berkempen di PRK Bukit Gantang. Pengundi disogok RM, pinjaman TEKUN, bantuan Jabatan Pertanian, jalan kampung ditampung.

Pengundi diugut akan dipulau dalam kawasan kubu umno. Poster dan bendera bulan dibuang, dibakar, dihumban dalam parit. Bendera umno dan BN dibakar oleh mereka sendiri, kemudian tuduh orang PAS bakar.

Pengundi dihalang dari mendengar ceramah PA, pasang karoeke kuat2 semasa ceramah PAS. Gantung bendera BN di rumah pengundi atas pagar supaya perayu undi tidak pergi ke rumah tersebut. 

Umno masih guna media massa sebanyak-banyaknya mengutuk PAS dan berkempen untuk BN. Perasaan benci kepada kaum lain ditiup kepada pengundi Melayu terutama semasa ceramah umno di kampung.

Cara politik lama ini masih tidak diubah, walaupun teraju utama umno dan BN sudah berubah. Sungguhpun begitu, pengundi Melayu bandar, Cina dan India sudah tidak terpengaruh dengan kempen politik gaya lama ini. Gaya politik lama ini, bagaimanapun masih diterima pengundi Melayu luar bandar terutama di kubu-kubu umno.

Walaubagaimanapun, terdapat peti undi Melayu di kubu umno yang bukan sahaja mengekalkan undi PAS, malah meningkat lagi undi PAS dan mengurangkan majoriti BN. Antaranya, UPU Sungai Limau dan Kg. Jaha yang diletakkan dibawah PAS Kawasan Parit Buntar. 

Undi PAS meningkat 41 undi dari 118 kepada 159 dan mengurangkan majoriti BN dari 98 kepada 42 undi di UPU Sungai Limau. Undi PAS meningkat 2o undi dari 78 kepada 98 dan mengurangkan majoriti BN dari 62 kepada 52 undi di UPU Kg. Jaha. Mengapa undi PAS meningkat di sini?.

Peningkatan ini berlaku kerana PAS Parit Buntar dengan bantuan UPU tempatan memastikan pengundi luar PAS balik mengundi. 90 % pengundi luar PAS di kedua-dua UPU balik mengundi.
Pengundi Melayu di sini juga cepat menerima jawapan balas tuduhan " Nizar derhaka" dan 'Nizar boneka" melalui usaha PAS Parit Buntar dan UPU tempatan.

Bagaimanapun, sogokkan RM kepada pengundi atas pagar di kedua-dua UPU ini terutama malam terakhir menghalang peningkatan undi PAS lebih tinggi lagi. 

Kemerosotan undi Melayu kepada PAS perlu diberi perhatian serius oleh pimpinan PAS Perak. Memandangkan PAS banyak bertanding di kerusi lebih 80% pengundi Melayu, pimpinan PAS Perak mesti melakukan beberapa tindakan perlu bagi meningkatkan sokongan orang Melayu kepada PAS.

Wassalam




DUN Kuala Sepetang.


DUN Trong


DUN Changkat Jering

Read More >>