Minggu, 22 Februari 2009

Tulahan : Pilihanraya kecil di kampung

Salam,

 

Fikiran penulis dok fikir macam mana nak balik buat kerja PRK Bukit Gantang. Ingatkan SPR tetap tarikh masa cuti sekolah, ada la peluang buat kerja pilihanraya sepenuhnya di kampung.

Tapi SPR nak bagi selesa kat umno buat pilihanraya lepas cuti sekolah, mengundi hari Selasa pulak tu. Bila fikir2, tahu macam ni tak pindah awai2 pun tak pa. Tapi ketentuan Allah ada hikmahnya, berdoalah padaNya diberi kelapangan atau jalan untuk boleh buat kerja pilihanraya di kampung. 

Penulis fikirkan kampung penulis yang warnanya biru. Nak kata biru pekat PRU lepas BN dapat lebih 140 undi PAS dapat lebih 80 undi. PRU ke 11, BN dapat lebih 140 undi PAS dapat lebih 60 undi. PRU ke 10, BN dapat lebih 120 undi PAS dapat lebih 80 undi.

PRU ke 10 (1999), penulis buat kerja di Parit Buntar tapi turun juga bantu kat kampung. Ada la perlawanan gantung banner dan bendera. Gerak kerja kat kampung kira tersusun sebab penulis dapat gerakkan orang PAS di kampung. 

PRU ke 11 (2004), penulis tak dapat turun bantu kat kampung sebab ada tanggungjawab besar di Parit Buntar. Langsung tak melawan, bendera biru penuh satu pun tak dak bendera PAS.

PRU ke 12 (2008), penulis sekali lagi tak dapat bantu di kampung. Tanggungjawab besar di Parit Buntar. Kalau tinggal tanggungjawab, apa-apa berlaku semua jari tunjuk ke arah kita. Namun ada sedikit kelainan di kampung, walaupun orang PAS tak buat kerja. Orang umno tolong tampal poster calon PAS kat kampung. Mungkin protes kat Azim Zabidi sebab orang luar, ataupun tak seronok sebab PAS tak melawan.


PRK ini, tak dak pilihanraya di Parit Buntar. Tapi penulis dok jauh pula, tu yang susah hati. Harap kawan-kawan Parit Buntar dan negeri-negeri lain boleh bantu orang PAS di kampung. 

Orang PAS kat kampung bukan tak boleh buat kerja tapi tak dak kepala. Kalau ada bantuan baru mereka semangat tapi yang bantu pun mesti boleh buat kerja juga, jangan nak jalan-jalan ambil angin masa pilihanraya saja. Kira cabaran besar la kawasan dan negeri yang jaga kampung penulis.

Susah juga nak jaga kampung penulis sebab jauh juga ke dalam 5 km dari Changkat Jering, 6 km dari Simpang. Jalan pun kecil macam nak masuk tebuk di Parit Buntar. Markas nak jadikan pusat operasi pun tak dak. Kena pakai rumah orang la jadi markas.

Sebab tu penulis risau dengan PRK ini. Keadaan yang berlaku di kampung penulis, berlaku juga di banyak kampung lain di Bukit Gantang. Cabaran ini besar juga kepada PAS Perak dalam mengarahkan PAS Kawasan untuk mengerakkan UPU yang mereka jaga. 

Jangan harap kepada PAS tempatan sahaja. Setengah tempat memang PAS kuat seperti Changkat Ibol. Tapi banyak tempat yang birunya terlalu pekat. Pilihanraya ini PAS Kawasan tidak boleh anggap macam PRK Kuala Terengganu. Pergi satu rumah yang disediakan, tunggu arahan dari UPU.

Kali ini, PAS Kawasan yang kena gerakkan jentera UPU macam di kawasan sendiri. Kena bawa semua peralatan pilihanraya yang PAS Kawasan ada. PAS kawasan dari negeri lain pula tunggu arahan dari PAS Kawasan di Perak. 

Gerak kerja tidak boleh tunggu penamaan calon kena turun sekarang. Kena lantik Pengarah pilihanraya untuk UPU yang dijaga. Jumpa PAS Bukit Gantang, lawat UPU yang kena jaga. Jumpa orang PAS tempatan, bincang dengan mereka. 

Penulis menjangkakan pilihanraya kali ini panas di kawasan pengundi Melayu. Umno akan mempertahan undi Melayu kepada mereka kerana tahu peratus sokongan bukan Melayu kepada BN semakin mengecil. 

Jadi kita mesti bersedia berhadapan dengan umno. Selamat bekerja.

Wassalam.



Read More >>

Selasa, 17 Februari 2009

Tulahan : Saman la Karpal

Salam,

Sejak dua tiga hari ini, umno sibuk berdemontrasi membantah Karpal Singh. Sibuk buat laporan polis ke atas Karpal yang dikatakan derhaka kerana nak saman Sultan Perak. 

Demontrasi dari sehari ke sehari itu cuma menjangkau 100 hingga 200 orang sahaja, tetapi dibesar-besarkan oleh media pengampu umno. Paling tinggi 500 orang di Perak, itupun diangkut dengan bas dari beberapa negeri.

Media pengampu umno kata dianjurkan oleh NGO-NGO Melayu, fokuskan gambar bagi nampak macam ramai walapun tak ramai. Kita tahu NGO-NGO Melayu dibelakangnya umno.

Tindakan Karpal Singh nak saman Sultan Perak dikatakan derhaka, tetapi sampai hari ini tidak ada seorang pun daripada mereka yang berani saman Karpal. Kalau betul-betul pertahankan sultan, kenapa tak berani saman Karpal?. Saman la .

Harap menjerit depan media pengampu, cabut keris telanjang kemudian cium tak jadi. Tunjukkan kesalahan derhaka Karpal dengan menyamannya.

Paling menonjol tunjuk kehebatan pertahan raja tentunya calon-calon Ketua Pemuda umno. Khir Toyo sanggup ke Pulau Pinang untuk ketuai tunjuk perasaan depan rumah Karpal. Media pengampu kata dia di'tahan' polis. Sebenarnya bukan ditahan pun, cuma diambil kenyataan kerana berhimpun tanpa permit atau pun tumpang kencing ja kat balai polis tu.

Kita tunggu la bila polis nak saman Khir Toyo. Kalau pemimpin PR yang anjur sah kena saman. Apa pun Khir Toyo telah tunjukkan kejantanannya lebih hebat dari Mukhriz dan Khairi. Khairi juga tunjuk hebat di Ipoh tapi itu di premis sendiri, tidak seperti Khir Toyo yang sanggup 'berdepan' dengan polis. Mukhriz pula hanya boleh cakap saja.


Penulis kelakar tengok orang-orang umno dan pemimpin mereka yang nampakkan muka bengis, suara garang, angkat sepanduk malah bertakbir marahkan Karpal Singh derhaka. Kemudian kaitkan tuduh Anwar dan Nizar derhaka juga. Sampai minta ISA kan pemimpin PR.

Namun sedarkah mereka, kenapa Karpal berani nak saman Sultan Perak?. Kerana sultan sudah tidak ada kekebalan, sultan boleh disaman. Siapa yang hapuskan kekebalan raja-raja Melayu. Tak lain tak bukan UMNO. Pada tahun 1993, umnolah yang menjadi tunjang BN membawa usul dalam Parlimen supaya raja-raja Melayu dihapuskan kekebalannya, raja boleh disaman.

Kenapa pada masa itu tidak ada orang umno dan NGO Melayu umno yang berdemontrasi membantah umno?. Kenapa tak angkat keris telanjang marahkan pemimpin umno yang derhaka hapuskan kekebalan raja-raja Melayu?. 

Ramai pemimpin umno yang ada sekarang adalah mereka yang sokong hapuskan kekebalan raja. Hari ini merekalah jadi hero tuduh pemimpin PR derhaka.

Pada masa itu, raja-raja Melayu diaibkan seteruk-teruknya dalam media pengampu umno. Sultan Kelantan larikan kereta Lamborgini, Sultan Johor pukul orang dengan kayu golf dan banyak lagi berita aib raja-raja Melayu dipaparkan oleh media pengampu umno.

Tidak cukup dengan itu, ditayangkan kepada rakyat melalui TV filem-filem yang ceritakan tentang zalimnya raja-raja. Filem Laksamana Bentan dan Hang Jebat lakonan Nordin Ahmad, Raja Bersiong dan banyak lagi filem Melayu tentang raja zalim di tayangkan.

Sekarang mereka tuduh pemimpin PR derhaka, orang Perak derhaka. Walaupun sebenarnya, pimpinan PR dan rakyat Perak cuma minta keadilan dari Tuanku Sultan Perak supaya ikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Beri hak pilih kerajaan kepada rakyat kembali.

Tidak ada dalam media rasmi PR yang cerita aib sultan, kerana PR bukan hendak derhaka cuma mahu keadilan diberi kepada rakyat.

Orang-orang umno yang sibuk berdemontrasi kena fikir. Mereka berdemontrasi untuk siapa?. Adakah untuk pertahankan sultan atau pertahankan pemimpin umno?. Kalau mereka pertahankan sultan, mereka silap kerana umnolah yang derhaka kepada raja-raja Melayu.

Mereka sebenarnya berdemontrasi untuk pertahankan pemimpin umno yang takut hilang kuasa. Mereka diperalat oleh pemimpin umno yang ingin tunjuk kehebatan untuk bertanding dalam pemilihan umno. 

Mukhriz, Khairi dan Khir Toyo sedang pergunakan orang-orang umno untuk tunjuk mereka paling layak menjadi Ketua Pemuda umno. Orang umno berpanas, berpeluh diarah kononnya nak pertahankan raja, rupanya nak pertahankan pemimpin umno.

Kalau betul-betul Mukhriz, Khairi dan Khir Toyo berani, samanlah Karpal Singh. Siapa antara mereka yang berani saman Karpal. Dialah yang paling layak dipilih oleh perwakilan pemuda umno sebagai Ketua Pemuda umno Malaysia.

Wasalam.

Read More >>

Tulahan : Dari Parit Buntar ke ... ( 3 )

Salam,


Semalam masa nak cari berita PRK Bukit Gantang, terbaca satu blog cerita pasai restoran mee udang yang terkenal. Restoran tu dekat jalan nak pi Port Weld. PRK 059 ni, sah restoran ini banyak dapat untung.

Port Weld Pekan Cina macam Kuala Kurau dan Tanjung Piandang di Parit Buntar. Orang Cina dekat sini kerja nelayan. Mereka dah kira moden tangkap ikan,udang dan sotong guna kapal masuk laut dalam. 

Ada ternakan ikan dan udang dalam sangkar. Kerang pun ada kawasan mereka bela. Pendek kata, orang Cina jadi tokey cari makan jadi nelayan. Ada pekerja Indon dan Melayu.

Penulis pernah dengar cerita dari mamat dok sebelah penulis dalam bas. Mamat ini orang Kuala Selinsing nak pi jengok isteri dia buat kursus jururawat dua tahun. Anak-anak dok dengan emak Mamat ni. Dua minggu sekali dia pi naik bas jumpa isteri dia.

Kerja kilang dekat penang, hari-hari naik motor subuh pagi-pagi pi kerja. Pernah sekali kemalangan teruk sampai patah tulang muka, patah tangan dan kaki. Dapat la insuran tapi tak padan dengan sakit. Kesian dengar cerita dia.


Pernah sekali dia , berhenti kerja nak jadi nelayan. Tangkap ikan dan ketam guna bubu dan tankoi, lumayan juga pulangan tapi tak selalu ada ikan dan ketam. Dia juga pakar buat sampan dan bubu. 

Pernah dapat kontrak dari Jabatan Perikanan dan LKIM buat sampan untuk nelayan tapi sekali ja kerana dia tak tahan dengan karenah orang atasan yang nak komisyen kontrak. Kontrak buat sampan yang dia dapat punya la lama nak dapat duit walau sampan dah siap. 

Bila tanya, jawapannya akan bagi. Tunggu lama tak dapat lagi, pi jumpa orang atas. Rupanya orang atas tu nak panggu dia, kalau tidak lambat la dapat duit. Mamat ni tak bagi, dia kata nak report. Dok tak lama duit dia dapat. 

Minta kontrak sekali lagi dah tak dapat. Sanggup depa ali babakan seorang Melayu untuk bantai komisyen, yang buat kontrak tu Cina.

Mamat ni cerita lagi, pasai nelayan Melayu yang kurang dapat ikan kerana ada nelayan laut dalam yang guna pukat tunda dekat kuala sungai. Marin memang ada tapi dapat juga, kadang-kadang bukan banyak pun udang saja panggu mereka.

Inilah nasib hidup nelayan di pinggiran hutan bakau. Dulu masa ayah penulis ada sampan, penulis pun buat kerja nelayan juga. Pi tangkap ikan guna rawai, tahan bubu sembilang, pi tangkoi ketam, cari lokan guna pisau motong getah, cari kerang. 

Banyak juga pengalaman di kuala Jaha dan kuala Sungai Limau. Bila dengar cerita Mamat ini, terkenang masa ikut ayah dan abang tangkap ikan. Paling tak syiok, kena cari rumpun di pantai selut bakau. Masuk dalam selut sampai kat paha, gagau dalam selut cari rumpun. Rumpun pula lari laju, kalau nampak rumpun kena gagau  kat depan sebab dia cepat. Hagas hurung telinga dengan muka sampai merah, tak boleh nak garu kerana tangan berselut.

Sebenarnya jajaran hutan bakau ini bermula dari Pantai Remis, Kuala Trong, Kuala Selinsing, Kuala Kurau sampai Bagan. Inilah kawasan Raja Laut yang terkenal merompak nelayan kaya dan agih hasil rompakan kepada orang miskin. Macam Robin Hood.

Penduduk tua di Port Weld, Kuala Kurau, Tanjung Piandang tahu cerita Raja Laut. Mereka sayang kat Raja Laut, walaupun Raja Laut diburu Polis. Setakat yang penulis tahu, Raja Laut tidak dapat ditangkap polis kerana lari ke Siam.

Raja Laut sukar ditangkap polis kerana ada bot yang laju. Bila polis buru, tiba-tiba ja hilang. Ada orang kata dia boleh meresap. Penulis tak percaya, penulis rasa dia guna bot laju yang polis tiada bot seperti itu. Sebab Raja Laut selalu ulang alik ke Siam melalui laut ini, tentu dia dapat bot canggih dari luar.

PRK 059, boleh tanya la cerita Raja Laut kepada orang Port Weld atau orang Melayu nelayan yang tinggal di Kuala Trong, Kuala Selinsing, Matang Gelugur dan Matang. Jangan lupa pi tengok dapur arang atau kilang arang, tempat bakar kayu bakau untuk buat arang.

Wasalam.



  
Read More >>

Selasa, 10 Februari 2009

Tulahan : Bukit Gantang bukan Kuala Terengganu, bukan Parit Buntar

Salam,


Sedih apabila mendengar berita Hj. Roslan Shahrum Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia. Kali terakhir penulis bertemu Hj. Roslan ialah semasa majlis dialog rakyat di kampung penulis. Dialog rakyat ini adalah ikhtiar Hj. Roslan menyelami masalah penduduk di Bukit Gantang.

Hj. Roslan adalah seorang pemimpin yang lemah lembut dan mudah mesra. Allahyarham pernah bertanding kerusi Parlimen Bukit Gantang semasa pilihanraya umum tahun 1999. Walaupun tewas, Allahyarham tetap turun ke Bukit Gantang memberikan khidmat perubatan Syifa' kepada penduduk.

Allahyarham sekali lagi bertanding kerusi ini semasa pilihanraya umum ke 12 dan kali ini menang dengan majoriti 1566 kalahkan Azim Zabidi Bendahari umno Malaysia.

Allahyarham menubuhkan One Stop Centre yang melibatkan Ahli Parlimen,  Adun-Adun dalam Parlimen Bukit Gantang bersama Ketua-Ketua Kampung bagi menyelesaikan masalah penduduk. Penulis ada mengambil idea ini dan mencadangkannya dilaksanakan di Parit Buntar.

Bukit Gantang akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia berikutan pilihanraya kecil tidak lama lagi. Kawasan ini pernah ada pilihanraya kecil iaitu DUN Changkat Jering bila Dato' Razlan meninggal dunia. Cikgu Mat Isa calon umno/BN telah tewaskan Ust. Idris Ahmad calon PAS dalam pilihanraya kecil itu.

Ramai yang meramalkan Pakatan Rakyat akan mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya kecil ini. Momentumnya sama macam PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu.


Tapi penulis, tidak menjangkakan sebegitu. Bukit Gantang adalah kubu umno yang tidak pernah dimenangi PAS sehingga PRU ke 12. Tidak sama dengan Permatang Pauh yang merupakan kubu PKR. 

Dalam PRU Ke 12, Kuala Terenganu PAS telah menang lebih 2000 undi jika digabung undi PR bagi Dun-Dun dalam Kuala Terengganu. Cuma untuk undi Parlimen Abang Mat Sabu tewas disebabkan faktor calon luar. Maksudnya, Kuala Terengganu boleh dikatakan kubu PAS.

Bukit Gantang juga tak sama dengan Parit Buntar. Dr. Mujahid menang di Parit Buntar majoriti 7551 berbanding 1566 di Bukit Gantang. Walaupun, peratus pengundi mengikut kaum tidak
banyak bezanya. 

Pengundi Melayu di Parit Buntar ialah 66.76% berbanding Bukit Gantang 63.48%. Pengundi Cina di Parit Buntar 28.06% berbanding Bukit Gantang 26.77%. Pengundi India di Parit Buntar ialah 5.14% berbanding Bukit Gantang 9.71%.

Mengapakah majoriti di Parit Buntar tinggi?. Pertama, Parit Buntar adalah kubu PAS. Hampir 80% kampung-kampung di Parit Buntar adalah kampung orang PAS. Kekalahan PAS di Parit Buntar sebelum PRU ke 12, disebabkan pengundi bukan Melayu menyokong BN.

Berbeza di Bukit Gantang, Kampung orang PAS dianggarkan tidak mencapai 60%. Pengundi PAS banyak di gugusan Bukit Gantang seperti Changkat Ibul, Sg. Petai, Kg. Senduk, Kg. Cheh dan beberapa kampung berdekatan gugusan itu. Selain itu, Kuala Trong di DUN Trong dan Matang Gelugur dalam DUN Sepetang. Malah, kawasan Markas Tarbiah PAS Perak di Air Kuning juga bukan kubu PAS. 

Kedua, pengundi bukan Melayu di Parit Buntar memberi undi yang lebih tinggi kepada PAS berbanding di Bukit Gantang. Pengundi Cina di Bukit Gantang terdapat di Kuala Sepetang (Port Weld), Simpang, Pasir Hitam dan Kuala Sangga di Trong. Sepatutnya undi bukan Melayu kepada PAS di Bukit Gantang lebih tinggi berbanding Parit Buntar kerana peratus pengundi bukan Melayu di Bukit Gantang lebih tinggi dari Parit Buntar terutama pengundi India.

Semasa PRK Kuala Terengganu, Jentera Pilihanraya (JPN) PAS Terengganu telah berjaya mengerakkan kempen dengan berkesan sekali. Pengalaman JPN Terengganu dalam menghadapi pilihanraya tidak boleh disangkal. 

Pengalaman Cikgu Pa, Wan Mutalib Embong, Arifin Deraman dan ramai lagi berjaya digarap untuk menghasilkan gerakan kempen tersusun dan berjaya. Adakah JPN Perak mempunyai kebolehan seperti JPN Terengganu?.

Penulis yakin pimpinan PAS Perak dapat mengerakkan jentera PAS semua peringkat. Kejayaan menganjurkan Muktamar PAS Pusat membuktikan kemampuan pimpinan PAS Perak.

Penulis berpandangan PAS boleh mencapai kemenangan di Bukit Gantang dengan mengekalkan undi Melayu serta menambah sebanyak mungkin undi bukan Melayu. Kenapa begitu?, kerana kawasan ini merupakan kubu umno dan isu rampasan kuasa di Perak menimbulkan kemarahan bukan Melayu kepada BN.

Faktor calon penting dalam PRK berbanding PRU. Penulis sependapat dengan Tok Guru Nik Aziz, Hj. Nizar perlu tumpukan sebagai MB Perak. Jadi, siapa calon yang paling layak?

Calon tempatan yang penulis rasa akan dicalonkan ialah anak Tok Guru Haji Ahmad Sg. Petai iaitu Ust. Idris Ahmad AJK PAS Pusat dan Prof. Madya Ust. Salleh Ahmad bekas Pensyarah. 

Calon negeri Ust. Ahmad Awang Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Asmuni Awi Timb. Pesuruhjaya dan Dr. Khairuddin Dato' Abdul Malik Bendahari PAS Perak.

Calon nasional tidak lain tidak bukan Abang Mat Sabu. Penulis lebih berharap Abang Mat Sabu dipilih kerana aura Abang Mat lebih kuat, tak perlu diperkenalkan lagi. Abang Mat juga senang diterima pengundi bukan Melayu. Bukit Gantang juga bukan Kuala Terengganu, tiada faktor calor luar.

Jika Abang Mat tak dipilih, calon yang lebih layak ialah Dr. Khairuddin kerana beliau seorang profesional yang mudah diterima pengundi Melayu dan bukan Melayu. Ust. Idris dan Ust. Salleh layak kerana anak tempatan tapi bukan untuk pilihanraya kecil ini. Faktor kecenderungan pengundi kepada calon perlu diambil kira.

Penulis tidak pun berharap cadangan dan pandangan ini diterima. Cuma pandangan ikhlas kerana bimbang kita terlalu yakin PR akan menang di Bukit Gantang, sedangkan Bukit Gantang tidak sama dengan Kuala Terengganu dan tak serupa seperti Parit Buntar.

Penting sekali kita berusaha bersungguh-sungguh berkempen kepada setiap rumah dan setiap pengundi di Bukit Gantang.

Wasalam. 






Read More >>

Jumat, 06 Februari 2009

Tulahan : Merak Buih (Zambri) Perak Vs Menteri Besar (Nizar) Perak

Salam, 


Penulis ada bagi pandangan awal seperti di sini , sebelum BN dapat sokongan lebih kerusi. Ada yang tak setuju siap kata siapa yang bagi cadangan ini sebagai melaun. Bagi mereka walau lebih satu kerusi kerajaan PR masih boleh perintah.

Pimpinan PR ada buat tindakan berkaitan dua Adun ini tetapi tindakan mereka bukanlah mohon Tuanku bubar DUN, sebaliknya hantar surat letak jawatan dua ADUN kepada SPR untuk buat pilihanraya kecil.

Kesilapan pimpinan PR adalah masih letak harapan kepada SPR. Harapan mereka pengerusi baru lain dari dulu. Kemudian pengerusi SPR lama pun bagi pandangan bahawa SPR kena buat pilihanraya kecil. Tapi lihatlah keputusan SPR untuk kes ini jelas bercanggah dengan kes-kes dulu.

Pengerusi SPR dengan angkuh kata sapa tak setuju bawa mahkamah. Sekarang pimpinan PR kena letak harapan kepada mahkamah pula. Tak tau apa keputusan mahkamah pula.


Bila dah kecoh seorang lagi  Adun dari DAP akan sokong BN. Pilihan pimpinan PR ialah mohon bubar DUN. Letak harapan kepada Tuanku Sultan. Tapi semuanya sudah dalam perancangan BN. Bukan setakat 3 Adun tambah satu pula Adun Bota yang patah balik sokong BN.

Proses nak menghadap Tuanku pun ada pihak dalaman lewatkan walaupun dah mohon jumpa awal.  Sebabnya nak tunggu Najib umum di media, BN dah boleh bentuk kerajaan. Ada alasan untuk tolak permohonan bubar DUN.

Sekarang Tuanku dah buat keputusan tak mahu perkenan DUN. BN dah dapat perkenan untuk tubuh kerajaan. Tuanku titah Nizar letak jawatan untuk bagi peluang BN perintah.

Sekali ini, penulis setuju dengan keputusan pimpinan PR. Nizar tak perlu letak jawatan kerana dalam Undang-Undang Tubuh Perak, Menteri Besar akan terlucut jawatan melalui pembubaran DUN atau undi tak percaya dalam sidang DUN.

Keputusan pimpinan PR sekarang tepat, biar rakyat yang tentukan kerajaan baru untuk mereka. Jika BN tubuh kerajaan juga, kerajaan itu tak sah kerana Nizar belum letak jawatan.

Zambri Kader yang akan angkat sumpah jadi MB tak sah. Sapa nak ikut arahan dia sebab dia bukan MB yang sah.  Ketua Kampung dan JKKK dulu tak perlu letak jawatan, Ahli Majlis tak perlu letak jawatan kalau diarah kerajaan tak sah, Dewan tak perlu serah balik. Segalanya akan berkecamuk. 

Zambri Kader yang diangkat jadi MB BN ini, boleh dipanggil MB tapi bukan Menteri Besar sebaliknya Merak Buih. Kenapa macam tu, sebab tahu dah dia ni jenis sombong, jenis berlagak sesuai sangat jadi Merak Buih.

Belum dilantik jadi MB dan berlagak, cakap besar kata masa kerajaan PR  pembangunan ekonomi lembab, jadi dia akan bangunkan ekonomi Perak. Pulau Pangkor kawasan dia pun tak dapat nak dibangunkan, nak bangunkan ekonomi Perak.

Dulu dalam sidang DUN dialah yang paling biadap, ada PHD tapi perangai dalam sidang DUN macam Ketua Cawangan umno. Langsung tak hormat kepada kerajaan PR yang sah. La dia akan jadi Merak Buih Perak, sapa nak hormat kat dia tambah pulak kerajaan dia tak sah.

Inggat lagi dia dengan angkuh hina tahanan ISA dan keluarga tahanan semasa ada Usul Bantah ISA dalam Sidang DUN Perak. Merak Buih ni kata dia pun kena tahanan ISA tapi tak da apa-apa sihat ja, keluarga dapat hidup masa dia dalam tahanan ISA. Sedap dia cakap, berapa bulan dia kena ISA?. Memang sesuai la umno angkat dia jadi Merak Buih Perak.

28 Adun PR tidak akan hadiri upacara angkat sumpah Merak Buih ini. Buat apa pergi, dah tahu dah tak sah. Lepas angkat sumpah kita akan dengar ucapan Merak Buih Perak untuk rakyat Perak. Dengar ja boleh, ikut arahan tidak sebab dia hanya Merak Buih bukan Menteri Besar Perak. Menteri Besar Perak masih Dato' Seri Ir. Haji Nizar bin Jamaluddin.

Penulis berharap Tuanku akan timbang semula keputusan baginda. Banyak masalah selagi tak bubar DUN. Biar rakyat pilih kerajaan baru, keputusan ini adil untuk semua pihak. Kalau rakyat pilih BN, kerajaan BN akan ditubuhkan. Selesailah kemelut politik ini. Kalau tak bubar, kemelut ini akan berpanjangan.

Namun jika upacara angkat sumpah tetap diadakan untuk lantik MB baru. Maka rakyat Perak akan dapat Merak Buih disamping Menteri Besar sedia ada. Kena panggil Merak Buih sebab, mana ada dua Menteri Besar dalam satu negeri.

Wasalam.

Read More >>

Selasa, 03 Februari 2009

Tulahan : Orang lain mengidam, orang lain yang mengandung

Salam,


Apabila SPR buat keputusan Adun Changkat Jering dan Adun Behrang kekal, maka surat kosong kerusi Speaker Dun Perak kepada SPR dah tak dipakai lagi. Tak sama macam kes sebelum-sebelum ini, bila Speaker maklum kerusi kosong maka SPR akan adakan pilihanraya kecil.

Contoh kes Dun Limbungan dan Kelaboran di Kelantan. Walaupun ada pertikaian kesahan sama ada dua Adun S46 yang lompat BN letak jawatan atau tidak. SPR tetap adakan pilihanraya kecil bila Speaker Dun Kelantan hantar surat kekosongan dua kerusi itu.  Calon APU menang kedua kerusi itu kalahkan BN dalam pilihanraya kecil itu.

BN bawa kes ke mahkamah dan mahkamah putuskan dua Adun S46 yang lompat BN tadi masih Adun. Kemenangan calon APU tidak diterima. Inggatkan, kes di Perak ni keputusan SPR sama iaitu adakan pilihanraya kecil. Kalau nak cabar keputusan SPR di mahkamah, cabar lepas pilihanraya kecil.

Tapi keputusan SPR dibawah ketua yang baru ini, terbalik pula.  SPR buat keputusan yang sepatutnya diputuskan oleh mahkamah. Speaker Dun Perak pula kena cabar keputusan SPR di mahkamah, boleh atau tidak boleh adakan pilihanraya. Nampaknya, lepas ini kuasa tentukan kosong atau tidak kerusi ini bukan lagi di tangan Speaker , sebaliknya SPR. SPR diberi 48 jam, kita tunggulah nanti.  


Itu cerita SPR. Penulis nak cerita pula pasal dua Adun PKR yang dituduh nak lompat BN. Hari ini lepas SPR umum keputusan, keduanya bukan umum masuk BN sebaliknya jadi Bebas. Tak tau la apa perancangan mereka berdua. Depa mula tuduh semua ini perancangan beberapa pimpinan PKR negeri yang mengidam nak jadi Exco.

Depa kata lagi, mana ada surat mereka keluar PKR. Pasal apa kerajaan PR cepat sangat isytihar mereka letak jawatan, sedangkan surat letak jawatan yang mereka tandangan pada bulan Mac itu hanya sah jika mereka keluar PKR. 

Jika betullah cerita mereka (harap tak betul), amat malanglah sekali ada pimpinan PKR yang sanggup berkomplot hanya kerana nak jadi calon pilihanraya kecil seterusnya diangkat jadi Exco. Sanggup huru harakan kerajaan PR , semata-mata nak jawatan Exco. 

Adun Pkr yang Melayu tak ramai dua Adun tadi, YB Yunus Adun Kuala Kurau dan Adun Bota yang baru masuk Pkr. So peluang nak jadi Exco terbuka luas kalau dua Adun tadi letak jawatan.

Bila SPR kata tak da pilihanraya, semua tak menjadi. Dua Adun Pkr dah jadi bebas, jawatan Exco tentu bukan milik mereka lagi. Tinggal dua Adun lagi YB Yunus Adun Kuala Kurau dan Adun Bota, merekalah akan jadi Exco. 

Tak kan nak pilih Adun Pkr bukan Melayu sebab kouta tu untuk orang Melayu. Nak bagi kat Adun PAS bukan kouta PAS, walaupun ada juga Adun PAS yang mengidam nak jadi Exco.

Kalau mereka jadi Exco, melepaslah orang lain. Maknanya " Orang lain mengidam, orang lain yang mengandung''. Mereka berdua yang tak kemaruk, tak lobi, tak minta nak jadi Exco tiba-tiba dilantik jadi Exco. 

Rakyat di Dun Kuala Kurau tentu seronok, Adun depa jadi Exco. Peruntukan tentu banyak untuk rakyat di Dun Kuala Kurau. Orang Bota pun tumpang gembira. Tapi ada yang letak dahi kat kepala Ish!Ish! Ish!

Wasalam.


Read More >>